5 Hukum Kebodohan Carlo Cipolla: bodoh tu sebab IQ atau tindakan? Pandangan peribadi saya
Saya terbaca tentang "5 hukum asas kebodohan manusia" di media sosial dan perkataan "kebodohan" tu buat saya nak tahu lebih. Ini catatan tentang apa yang saya faham dan apa yang saya bawa pulang.
Jawapan ringkas: Dalam 5 hukum kebodohan Carlo Cipolla, "bodoh" bukan bermaksud IQ rendah. Ia merujuk kepada tindakan yang merugikan orang lain tanpa memberi apa-apa untung kepada diri sendiri. Saya setuju dengan definisi ni, sebab ikut cara Cipolla, sesiapa pun boleh bertindak bodoh. Termasuk saya.
Bagaimana saya mula terfikir tentang topik ni
Jujurnya saya dah tak ingat di mana saya mula-mula terbaca. Rasanya di media sosial juga, macam kebanyakan perkara yang saya jumpa sekarang.
Yang menarik perhatian saya ialah perkataan "kebodohan" tu sendiri. Bunyinya kasar. Jadi saya cari lebih lanjut dan berbual dengan AI untuk faham konteksnya.
Masa mula-mula, saya anggap bodoh ni ada kaitan dengan IQ. Orang yang kurang cerdik, itulah orang bodoh. Rupanya Cipolla maksudkan sesuatu yang lain sama sekali.
Siapa Carlo Cipolla dan dari mana datangnya 5 hukum ni?
Carlo M. Cipolla (1922 hingga 2000) ialah ahli sejarah ekonomi dari Itali yang pernah mengajar di University of California, Berkeley. Pada tahun 1976 dia menulis esei The Basic Laws of Human Stupidity.
Yang menarik, esei ni asalnya bukan untuk diterbitkan. Ia dicetak dalam jumlah terhad dan diedarkan kepada kawan-kawan dia sebagai jenaka intelektual. Pada tahun 1988 barulah ia diterbitkan secara rasmi dalam bahasa Itali dalam buku kecil Allegro ma non troppo. Di luar jangkaan, buku tu jadi laris.
Apa 5 hukum kebodohan tu?
- Kita selalu memandang rendah jumlah orang bodoh di sekeliling kita.
- Kebarangkalian seseorang itu bodoh tak bergantung pada ciri lain dirinya, sama ada pendidikan, jawatan atau kekayaan.
- Orang bodoh ialah orang yang menyebabkan kerugian kepada orang lain sementara dia sendiri tak dapat apa-apa, malah mungkin turut rugi.
- Orang yang tak bodoh selalu memandang rendah kuasa merosakkan orang bodoh.
- Orang bodoh ialah jenis manusia yang paling berbahaya. Lebih bahaya daripada penyamun.
Hukum ketiga ialah teras semuanya. Cipolla bahagikan tindakan manusia kepada empat kategori berdasarkan siapa untung dan siapa rugi:
- Bijak: diri sendiri untung, orang lain pun untung.
- Penyamun: diri sendiri untung, orang lain rugi.
- Lurus bendul: diri sendiri rugi, orang lain untung.
- Bodoh: semua pihak rugi.
Satu orang, empat kategori
Bahagian ni yang paling mengubah cara saya berfikir. Kategori Cipolla menilai tindakan, bukan orangnya. Jadi seorang yang sama boleh masuk keempat-empat kotak dalam satu hari.
Saya bayangkan seorang pekerja bernama Ali.
Waktu pagi, dia tolong rakan baru yang tersekat dengan sistem. Rakannya jimat masa, Ali pula dapat nama baik. Itu bijak.
Waktu makan tengah hari, dia cepat-cepat ambil potongan piza terakhir di pantri walaupun tahu ada kawan yang belum makan. Itu penyamun.
Waktu petang, dia setuju siapkan kerja seorang rakan yang tak mendesak pun, sebab rakan tu kata "awak lebih pandai buat". Ali balik lewat, rakannya balik awal. Itu lurus bendul.
Sebelum balik, dia cuba "baiki" tetapan mesin pencetak yang elok berfungsi. Mesin rosak. Esoknya tiada siapa boleh guna dan Ali dimarahi pengurus. Itu bodoh. Mungkin niat dia baik, tapi Cipolla menilai hasil, bukan niat.
Ali bukan orang bodoh. Dia cuma buat satu tindakan bodoh petang tu.
Adakah orang yang takut ambil risiko tu bodoh?
Soalan ni datang daripada seorang kawan saya. Dia pernah kata, orang yang tak berani ambil risiko pun satu kerugian dan satu kebodohan. Mula-mula saya pun rasa macam tu.
Tapi bila fikir balik, risiko ni bukan semua orang mampu. Contohnya pelaburan IPO. Ramai kata senang untung, tapi tak semua orang ada duit lebih untuk dilaburkan.
Ikut definisi Cipolla pun, orang yang tak melabur tak menyebabkan orang lain rugi. Paling teruk, dia terlepas peluang untuk diri sendiri. Itu bukan kebodohan.
Pada saya, berani atau takut ialah soal sikap. Bodoh atau bijak ialah soal kesan tindakan. Orang yang berani pun boleh jadi bodoh kalau keberanian dia akhirnya merugikan semua pihak.
Ini pandangan peribadi saya, bukan nasihat kewangan.
Betul ke orang bodoh lebih bahaya daripada penyamun?
Bahagian ni saya masih ragu-ragu. Logik Cipolla begini: penyamun sekurang-kurangnya ada tujuan, iaitu nak untung. Jadi tindakannya boleh dijangka. Orang bodoh tak ada logik yang jelas, jadi susah nak dielak. Nilai yang dimusnahkan pula hilang untuk semua orang.
Yang buat saya lebih cenderung setuju ialah kes Tabung Haji. Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) tentang pengurusan Tabung Haji bagi tempoh 2014 hingga 2020 dibahaskan dalam sidang khas Dewan Rakyat pada Ogos 2026. Antara yang dilaporkan ialah kegagalan di pelbagai peringkat yang menyebabkan beberapa pelaburan lebur.
Dari apa yang saya baca, saya dapat gambaran keputusan pelaburan dibuat oleh pemimpin yang kurang ilmu dalam bidang tu. Akhirnya yang menanggung ialah orang biasa yang menyimpan duit di situ. Bagi saya, itulah gambaran Hukum 5: satu keputusan buruk di tempat yang berkuasa boleh merosakkan ramai orang sekali gus.
Saya bukan pakar dan tak baca keseluruhan laporan tu. Sebab tu saya kata saya lebih kepada setuju, bukan setuju sepenuhnya. Anda boleh semak sendiri sumbernya di bahagian rujukan.
Apa yang saya bawa pulang
Lepas faham teori ni, saya sedar setiap orang pun bodoh juga, cuma di tempat yang berlainan. Bezanya, kebodohan kita sendiri selalunya orang lain tak nampak. Kita sendiri pun kadang-kadang tak perasan.
Orang lain mungkin bodoh di satu tempat. Kita pun bodoh di tempat lain, cuma tak ada siapa nampak.
Jadi jangan sesuka hati cakap orang lain bodoh. Bagi saya, 5 hukum kebodohan Cipolla ni lebih berguna sebagai cermin untuk diri sendiri daripada label untuk orang lain.
Soalan lazim
Apa itu 5 hukum kebodohan manusia? Ia lima "hukum" dalam esei The Basic Laws of Human Stupidity tulisan ahli sejarah ekonomi Itali, Carlo M. Cipolla, pada tahun 1976. Esei ni separuh jenaka tetapi masih banyak dipetik dalam perbincangan tentang ekonomi, pengurusan dan politik.
Adakah "bodoh" dalam teori Cipolla bermaksud IQ rendah? Tidak. Bodoh merujuk kepada tindakan yang menyebabkan orang lain rugi tanpa memberi untung kepada diri sendiri. Orang yang sangat pandai pun boleh bertindak bodoh.
Apa beza orang bodoh dan penyamun? Penyamun untung atas kerugian orang lain, jadi tindakannya ada tujuan dan boleh dijangka. Orang bodoh menyebabkan semua pihak rugi, termasuk dirinya, sebab tu Cipolla anggap dia lebih berbahaya.
Di mana boleh baca esei asal Carlo Cipolla? Esei asal dalam bahasa Inggeris boleh dibaca percuma di Wikisource. Ada juga edisi buku bahasa Inggeris terbitan Doubleday (2019).
Rujukan
- The Basic Laws of Human Stupidity, Carlo M. Cipolla (Wikisource)
- The five universal laws of human stupidity (Quartz)
- Cabinet declassifies Tabung Haji RCI report (The Star)
- Dewan Rakyat holds special sitting to debate Tabung Haji RCI report (Bernama)
- Liputan sidang khas Dewan Rakyat tentang laporan RCI Tabung Haji (The Edge Malaysia)